Monday 6 May 2013

Fakta Menarik Di Sebalik Pilihanraya Umum 13

Pilihanraya Umum ke 13 telah pun melabuhkan tirainya semalam. Pada hari ini jelas kelihatan wajah-wajah penyokong ada yang bermuram dan ada juga yang bergembira. Keputusan kali ini banyak memberikan kejutan terutama kerusi-kerusi panas yang dipertandingkan. Antara yang menjadi bualan adalah kerusi yang dianggap menang mudah, turut tewas di tangan parti lain. Kali ini KisahBest.My ingin kongsikan bersama anda tentang beberapa fakta menarik disebalik pilihanraya umum 13 ini.

Keputusan akhirnya BN – 133, Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan Pas, pula mengumpulkan 89 kerusi Parlimen – menambah tujuh kerusi berbanding lima tahun lalu.

Berikut ialah pemerhatian terhadap keputusan akhir tersebut:

1) Pakatan kehilangan Kedah. Ketiga-tiga negeri PR yang lain – Selangor, Penang and Kelantan – kesemuanya menang dengan majoriti lebih 2/3:

Selangor – Pakatan 44, BN 12
Penang – Pakatan 30, BN 10
Kelantan – Pakatan 33, BN 12

2) MCA hanya tinggal 6 kerusi parlimen (berbanding 15 pada 2008), sementara Gerakan hanya tinggal satu (berbanding 2 ). Kerusi tunggal Gerakan ialah Simpang Renggam di Johor, yang dipertahankan oleh Liang Teck Meng.

3) DAP menambahkan 10 kerusi parlimen, sementara PKR dan PAS masing-masing kehilangan satu kerusi berbanding keputusan 2008.

DAP – 38
PKR – 30
PAS – 21

4) Terdapat 7 kerusi tambahan yang dimenangi oleh Pakatan dari Sabah (2 kerusi) dan Sarawak (5 kerusi).

5) Pengiraan awal menunjukkan secara keseluruhan Pakatan Rakyat telah menang dari sudut menerima lebih banyak undi popular – 50% berbanding 49% (1% lain-lain).

6) 4 orang menteri kabinet tewas. Mereka yang kalah ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Benard Giluk Dompok. Diantara timbalan menteri yang kalah ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Puad Zarkashi dan Datuk Lee Chee Leong.

7) Parti Progresif Penduduk (PPP) kalah di semua kerusi yang ditandinginya – satu kerusi parlimen dan empat kerusi parlimen – pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Selain tidak berupaya menyingkirkan calon DAP Dr Tan Seng Giaw bagi kerusi parlimen Kepong, parti komponen Barisan Nasional (BN) ini juga kalah di kerusi dewan undangan negeri Kota Laksamana (Melaka), Kota Alam Shah (Selangor), Pasir Bedamar (Perak) dan Guchil (Kelantan).

8) BN tidak mempunyai 2/3 majoriti di negeri-negeri berikut

Perak BN 31 PR 28
Terengganu BN 17 PR 15
Kedah BN 21 PR 15
Negeri Sembilan 22 PR 14

9) Kelima-lima pegawai Datuk Seri Najib Razak kalah di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini. Mereka ialah dua pegawai khas beliau tewas kepada calon PAS di Kedah, Datuk Shahlan Ismail dan Datuk Latt Shariman Abdullah. Shahlan tewas dengan majoriti 3,935 kepada calon PAS Datuk Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena, manakala Latt Shariman pula tewas kepada calon PAS Mohd Nasir Mustafa dengan majoriti 1,044 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kubang Rotan. Setiausaha Politiknya di Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Shafei Abdullah tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dengan majoriti yang lebih besar sebanyak 5,511 berbanding keputusan yang diperoleh pada tahun 2008. Dua lagi pegawai khas beliau yang tewas di kerusi Parlimen adalah Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di Kota Baru dan Datuk Mohamed Suffian Awang di Kuantan.

10) Bekas MB Johor, Abd Ghani Othman dan bekas KM Melaka, Mohd Ali Rustam tewas.

11) PAS berjaya melahirkan anak sulongnya di Melaka melalui kemenangan Dr Khalid Kassim di Dun Bukit Baru.

12) Rakyat tolak politik perkauman Najib & UMNO BN apabila calon dari PERKASA tewas. Veteran Ibrahim Ali tewas di tangan muka baru Nik Abduh Nik Aziz di Pasir Mas dan Zulkifli Nordin kalah teruk di tangan Khalid Samad di Shah Alam.

13) Perak, Kedah, Perlis dan Terengganu tewas selepas kiraan semula dengan peningkatan jumlah kerusi kepada BN setelah kiraan awal PAKATAN menang di kerusi tersebut

copypaste; http://kisahbest.my/2013/05/fakta-menarik-di-sebalik-pilihanraya-umum-13-menarik/


Wednesday 1 May 2013

Istidraj

Assalamualaikum,

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.

Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s.a.w. bersabda : "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain.

Tapi, hidup mereka biasa sahaja.

Ada yang susah juga. Kenapa?

Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.

Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!

Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong.

Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong!

Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong.

Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan.

Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya.

Mereka memandang hina kepada orang yang beramal.

"Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah.

Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah.

Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong."

Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul'Ibad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap.

Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu.

Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api.

Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan.

Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan.

Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud?

Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun.

Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta.

Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur.

Jadi kalau kita kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul,maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.

Mengapa orang kafir kaya, dan orang yangi berbuat maksiat hidup senang /mewah.

Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya.

Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.

Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.

Orang naik pangkat, istidraj.

Orang-orang besar, istidraj.

Jangan!

Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj.

Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.

Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah?

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.

Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.

Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah.

Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah,
niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Hudud

PENCURIAN - Bukan Mudah nak jatuh hukuman potong tangan ke atas pencuri. Kepada yang takut hudud sibuk beri alasan "nanti ramai la orang takde tangan", "potong tangan adalah zalim", bace ni boh.

PENGERTIAN PENCURIAN

Pencurian adalah mengambil barang kepunyaan orang lain dengan sengaja dan secara senyap-senyap dari tempat simpanannya yang wajar. Ciri-ciri pencurian itu ialah:

1. Mengambil barang kepunyaan orang lain.
Pencurian yang tidak termasuk dalam jenis pencurian yang dikenakan hukuman potong tangan ialah mengambil barang dari Baitulmal, mengambil barang kepunyaan syarikat di mana ia menjadi ahli, suami mencuri barang isteri dan sebaliknya, dan orang tua yang mencuri kepunyaan anaknya.

2. Secara senyap-senyap.
Mengambil barang orang lain secara terang-terangan (merampas) tidak dinamakan pencurian yang dikenakan hukuman hudud.

3. Barang diambil dari tempat simpanan yang wajar.
Mengambil barang kemas di luar rumah, ambil padi di sawah, ambil haiwan di ladang walaupun dinamakan pencurian , tetapi tidak dikenakan hukuman potong tangan.

4. Dengan sengaja.
Mengambil barang orang kerana tersalah ambil, kerana terlupa, dipaksa, atau terpaksa kerana lapar tidak dikenakan hukuman potong tangan.

“Umatku tidak dipertanggungjwabkan kerana tersalah, terlupa dan orang-orang yang dipaksakan.”
(Hadith riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban, Ath-Thabarani, dan Al-Haakim)

SYARAT-SYARAT PENCURIAN

Pencurian yang berakibat hukum barulah wujud apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

Pencuri:
-Mukallaf: dewasa dan berfikiran waras. Tidak ditetapkan pencuri mesti beragama Islam. Orang bukan Islam yang mencuri juga dikenakan hukuman potong tangan.
-Perbuatan mencuri dilakukan dengan sengaja.
-Pencuri tiada subhat (hubungan langsung) dengan barang-barang yang dicuri. Seperti bapa mencuri barang anaknya, atau ahli syarikat mencuri harta syarikat, mereka tidak dikenakan hukuman hudud.

Barang-barang yang dicuri:
-Barang yang dicuri adalah halal dari segi hukum.
-Barang-barang yang dicuri berada dalam tempat simpanannya yang layak.

Barang-barang yang dicuri cukup nisabnya:
Menurut pendapat jumhur ulama’, nisab barang-barang yang dicuri ialah bernilai ¼ dinar emas atau tiga dirham perak (9.36 gram emas) atau senilai ¼ dinar. Pendapat inilah yang paling kuat dari segi dalilnya.

“Aisyah r.a. berkata: Adalah Rasulullah s.a.w. memotong tangan pencuri yang mencuri ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith selain Ibn Majah)

“Umar r.a meriwayatkan: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. memotong tangan pada (pencurian) sebuah perisai yang berharga tiga dirham.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith)

“Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu potong tangan pencuri, kecuali pada ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasai, dan Ibn Majah)

MINUM ARAK - Ada orang takut dengan hudud ni sebab membayangkan "peminum arak akan disebat 40 kali". Bukan sebat macam kat penjara tu boss... 5 kali sebat dah terkopek2 kulit. Hudud bukan gitu.. Ikut sunnah, nabi pukul/sebat pakai pelepah tamar atau selipar je.. Bukan pakai rotan keras macam kat penjara tu sampai tersiat kulit..

PENGERTIAN KHAMAR (ARAK)
Khamar ialah sesuatu yang memabukkan, yang merosakkan akal sama ada cecair yang dinamakan arak atau pepejal yang dinamakan candu. Semua bahan yang sifatnya memabukkan dan merosakkan akal dinamakan khamar, dari bahan apapun ia dibuat.

MINUM KHAMAR ADALAH DOSA BESAR
Khamar adalah ibu dari segala kejahatan dan kejijikan, meminumnya termasuk salah satu dosa besar, bahkan iman peminumnya diragui.

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan"
(Al-Baqarah : 219)

UQUBAH (HUKUMAN) KE ATAS PEMABUKAN
Tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ mengenai hukuman rotan yang wajib dikenakan atas peminum arak, cuma mereka berbeza pendapat mengenai jumlah sebatan itu.

1. As-Syafi’e berpendapat, bahawa sebatan itu adalah 40 kali sebatan.
Pendapat ini didasarkan kepada Hadith, Riwayat Muslim, bahawa ‘Ali r.a merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan kemudian beliau berkata:
Rasulullah s.a.w. telah merotan 40 kali rotan, Abu Bakar merotan 40 kali rotan dan Umar 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah, dan saya lebih menyukai ini (40 kali rotan).

2. Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Malik, Al-Laith, keluarga Rasul dan satu pendapat lain dari Asy-Syafi’e menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan.

ALAT UNTUK MEROTAN PEMINUM
Tiada sabit dari Rasulullah s.a.w. bahawa beliau menetapkan alat-alat yang tertentu untuk memukul peminum arak. Kadang-kadang baginda memukul dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah tamar, kadang-kadang dengan rotan dan pelepah tamar, kadang-kadang dengan tangan dan selipar.

"Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali" (Riwayat Muslim)

"Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali"
(Riwayat Bukhari, no 6391; Sahih Muslim, no 1706)

SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN
Untuk melaksanakan hukuman (uqubah) atas peminum arak disyaratkan syarat-syarat yang berikut:
Peminum hendaklah berfikiran waras.
Peminumnya hendaklah seorang dewasa. Kanak-kanak tidak dikenakan hukuman had rotan, tetapi ia dikenakan hukuman Ta’zir menurut ketentuan hakim.
Dengan sengaja meminum arak.
Peminum mengetahui bahawa yang diminumnya adalah arak.

SABITNYA KESALAHAN
Kesalahan pemabukan ini disabit melalui salah satu dari dua cara:
Dengan pengakuan oleh peminumnya sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi yang adil.

HUKUM BERUBAT DENGAN KHAMAR
Sepakat para ulama’ bahawa arak haram hukumnya dan termasuk salah satu dosa besar. Tiap-tiap sesuatu yang diharamkan minumnya, maka haramlah ia dimakan, diperniagakan dan dihadiahkan walaupun kepada orang bukan Islam, dan haram pula dijadikan ubat-ubatan.

"Rasulullah saw bersabda, "Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walau dalam jumlah yang sedikit."
(Sunan Ibnu Majah, no 3392, jilid 3, bab 30)

HUKUM MENCARI REZEKI DENGAN KHAMAR
Setiap orang mukallaf wajib mencari rezeki untuk menyara hidupnya dan keluarganya. Ia termasuk ibadat. Oleh kerana khamar diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan ia pula termasuk dalam dosa besar yang diancam dengan uqubah dan ‘iqab, maka haramlah mencari rezeki dengan khamar itu. Pengharaman ini meliputi semua pekerja di kilang-kilang khamar, pengangkutan, ladang-ladang kepunyaan kilang atau pengusaha khamar, kedai-kedai khamar, pengusaha import dan eksport khamar dan sebagainya.

Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawa Allah mengharamkan penjualan khamar, bangkai, babi, dan patung-patung berhala.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


RIDDAH

Perbuatan keluar dari agama Islam oleh orang Islam yang mukallaf dinamakan riddah dan orang yang melakukannya dinamakan Murtad.

Riddah berlaku kerana salah satu sebab dari tiga sebab yang berikut:
-Rosaknya keyakinan hati, atau
-Mengucapkan perkataan-perkataan kufur, atau
-Melakukan perbuatan-perbuatan kufur.

Perbuatan Riddah dikira sah apabila seseorang tidak memperakui Allah adalah Tuhannya, Rasulullah adalah utusan-Nya, tidak mempercayai kewujudan Hari Kiamat, tidak mempercayai Qada’ dan Qadar, tidak mempercayai kewujudan Malaikat, dan tidak memperakui kesahihan Al-Quran, di mana ia melibatkan keguguran iman seseorang apabila melanggar Rukun Iman. Penafian atau menentang perintah Allah seperti Solat lima waktu, mengerjakan Haji, menunaikan zakat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan cara pemujaan atau sembahyang agama lain juga termasuk dalam perbuatan Riddah.

SYARAT-SYARAT RIDDAH
Riddah baru dikira sah apabila mempunyai syarat-syarat yang berikut:
-Yang melakukan riddah adalah orang Islam. Tidak dikira murtad orang yang beragama Yahudi memasuki agama Nasrani atau dan lain-lainnya.
-Yang melakukan riddah adalah orang dewasa.
-Yang melakukan riddah adalah berfikiran waras. Kanak-kanak atau orang gila yang murtad tidak dikira sah, oleh kerana itu ia tidak dikenakan hukuman had.
-Tetapi kanak-kanak yang murtad wajib dikenakan hukuman ta’zir bagi mencegahnya untuk menjadi murtad lagi.
-Perbuatan Riddah itu dilakukan dengan sengaja, bukan kerana tersalah atau terlupa dan bukan kerana paksaan. Perbuatan riddah yang tidak sengaja atau terpaksa adalah tidak sah dan orang yang melakukannya tidak bersalah. Sebagai contoh kisah ‘Ammar bin Yasir daripada keluarga Yasir yang diseksa oleh golongan Arab Quraisy dikepalai Abu Jahal. ‘Ammar mengaku dengan lidah keluar dari Islam padahal di hatinya tidak.
-Perbuatan riddah itu meyakinkan dan tidak meragukan sama sekali. Mempunyai bukti-bukti yang terang, dengan pengakuan atau dengan persaksian yang adil saksama. Seseorang tidak boleh dituduh secara melulu.

UQUBAH ATAS ORANG MURTAD
Orang murtad adalah halal darahnya, dan wajiblah dikenakan hukuman mati. Dalilnya ialah:

"Barangsiapa sahaja yang menukar agamanya (keluar dari Islam), maka hendaklah dia dibunuh."(Bukhari (2/280), Abu Daud (4351), At-Tirmizi (145), Nasaie (7/104), Ahmad (1/282)

Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan kerana salah satu dari tiga perkara: Kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan (muhshan* yang berzina) dan membunuh jiwa seseorang.”
(Hadith Muttafaq ‘Alaih, Riwayat Bukhari, Muslim)

*muhshan: orang yang dah menikmati hubungan seks di alam perkahwinan, samada masih berpasangan atau dah bercerai atau kematian pasangan.

Cara membunuh orang murtad ialah dengan memenggal lehernya dengan pedang, berdasarkan hadith berikut:
“Muaz bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asy’ari di Yaman, tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki. Mu’az berkata: Apa ini? Abu musa menjawab: Seorang lelaki Yahudi memeluk Islam kemudian ia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali ke dalam Islam semenjak dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah, aku tidak akan duduk sebelum kamu penggal lehernya, lalu orang itupun dipenggal lehernya. Berkatalah Mu’az: Allah dan Rasul-Nya memutuskan bahawa barangsiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu bunuh akan dia.” (Diriwayatkan Ahmad)

TAUBAT ORANG MURTAD
Sebelum melaksanakan hukuman mati, seorang murtad disuruh bertaubat, lalu jika ia bertaubat maka taubatnya diterima dan gugurlah ia dari hukuman mati.

Akan tetapi, jika ia tidak mahu bertaubat, maka ia dikenakan hukuman mati itu. Para ulama’ tidak sependapat dalam hukum Istitabah (menyuruh taubat) terhadap orang murtad:

1) Sebahagian besar para fuqaha berpendapat bahawa hukum menyuruh orang murtad bertaubat sebelum dibunuh adalah wajib. Termasuk dalam golongan yang berpendapat demikian ialah mazhab Maliki, Hambali, Asy-Syafi’e, Ath-Thauri, dan Al-Auza’i.
2) Abu Hanifah dan pendapat lain dari yang di atas berpendapat bahawa istitabah itu hanya sunat.
3) Golongan mazhab Zahairi pula berpendapat, bahawa istitabah itu bukanlah kewajipan dan bukanlah satu larangan.
4) Al-Hasan Al-Bashri, Thawus dan lain-lain lagi berpendapat, bahawa orang murtad itu wajib dibunuh segera dan tidak perlu diberi tempoh untuk bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang sah.

Mengenai tempoh taubat pula para ulama’ berselisih pendapat pula. Ada yang mengatakan tiga hari, sebulan dan ada yang mengatakan lebih daripada itu. Tempoh bertaubat sebenarnya tidak ada dalil yang sah yang membataskan tempoh itu, semuanya bergantung pada ijtihad hakim.