Tuesday 28 January 2014

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.
Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.
Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?
Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.
Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?
Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?
Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, bererti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.
Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.  
Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahuinya

Wednesday 8 January 2014

Solat Di Hujung Waktu

Assamualaikum,

Solat adalah ibadah yang difardukan Allah SWT kepada setiap Muslim dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak sah dan tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 103:

 

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”.

 

Jelas daripada ayat di atas kewajipan solat adalah dalam waktu tertentu. Jika diteliti lebih dalam lagi semua solat sama ada solat fardu atau solat sunat mempunyai waktu tertentu. Tidak ada persoalan solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk solat pada awal waktu tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu. Apakah diterima dan diberi pahala?

 

Setiap waktu solat mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit kenyataan dalam beberapa hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang bertemu Nabi s.a.w selepas solat lima waktu difardukan untuk memberitahu waktu-waktunya serta menetapkan waktu bermula dan waktu akhir setiap solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh Nabi s.a.w kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.

 

Sabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA, daripada Nabi s.a.w, Baginda telah ditemui oleh seorang yang bertanya tentang waktu-waktu solat. Tetapi Baginda tidak menjawabnya. Manakala dalam riwayat yang lain pula Baginda bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.

 

Lalu baginda menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan penglihatan orang ramai masih belum dapat mengenali antara satu sama lain. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi bersolat Zuhur ketika matahari gelincir. Ada yang berkata, ketika itu waktu tengah hari sedangkan Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.

 

Seterusnya Baginda menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan solat Asar ketika matahari masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu Baginda menunaikan solat Maghrib yang pada ketika itu matahari telah terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi, maka ditunaikan pula solat Isyak ketika syafak hilang daripada penglihatan.

 

Pada keesokan harinya, Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, matahari telah terbit atau hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir ke waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna matahari kemerah-merahan.

 

Seterusnya Baginda melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir tidak kelihatan lagi. Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga lewat tengah malam. Apabila menjelang pagi, Baginda memanggil orang tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.

 

Terdapat juga beberapa hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang umum atau yang menambah penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat dalam perincian waktu-waktu setiap solat seperti yang berikut:

 

Apabila Nabi s.a.w berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini” ia menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah SWT dan diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan daripada solat pada akhir waktu.

 

Jangan sengaja lengahkan solat

 

Tidak patut seseorang Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu dengan alasan tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan tersebut mungkin menyebabkan waktunya terluput malah sikap cuai ini mungkin menyebabkan solat terus tertinggal. Sebenarnya semua solat, sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya tentang amalan yang afdal Nabi s.a.w bersabda:

 

Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”

 

Seseorang yang melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian yang lainnya di luar waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya maka keseluruhan solat tersebut dikira qada’.

 

Hal ini berdasarkan hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah r.a  Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.”